Yusuf Blog News :
Home » » Spesies lalat pembunuh anai-anai ditemui

Spesies lalat pembunuh anai-anai ditemui

Written By INSPIRASI on Tuesday, July 5, 2011 | 9:24 PM

Sejenis spesies lalat parasit dikenali sebagai Misotermes Mindeni yang ditemui secara tidak sengaja di kampus USM Pulau Pinang dilihat boleh menjadi musuh utama anai-anai dari spesies Macrotermes Gilvus.

NEOH KOK BOON dan penyelianya, Prof. Lee Chow Yang mengakui penemuan ini masih memerlukan kajian mendalam.

SETIAP tahun di Malaysia, kira-kira RM50 juta terpaksa dibelanjakan untuk membasmi anai-anai yang menjadi musuh utama industri pembinaan.
Sedangkan kos memperbaiki kerosakan akibat serangan makhluk perosak itu, dianggarkan tiga atau empat kali lebih besar daripada kos menghapuskannya.
Namun, penemuan terbaru seorang penuntut Ijazah Doktor Falsafah dari Universiti Sains Malaysia (USM) diharap dapat mengatasi masalah itu, sekali gus boleh memusnahkan koloni anai-anai.
Sejenis spesies lalat parasit yang dinamakan Misotermes Mindeni ditemui di kampus USM Pulau Pinang. Ia dilihat boleh menjadi musuh utama anai-anai spesies Macrotermes Gilvus.

LALAT parasit ini membunuh anai-anai dengan cara memindahkan larva ke dalam tubuh mangsanya.

Menurut penuntut dari Makmal Entomologi Bandar, Unit Kajian Kawalan Vektor, Pusat Pengajian Sains Biologi USM, Neoh Kok Boon, lalat itu ditemui secara tidak sengaja ketika dia melakukan kajian mengenai anai-anai di kampus USM.
“Saya menemui anai-anai askar yang agak ganjil daripada biasa. Kepalanya agak besar dan memiliki badan yang kecil. Selain pelik dengan anai-anai itu, saya juga mendapati ada pergerakan di bahagian perutnya.
“Selepas beberapa hari, ia mati. Hasil pemeriksaan mendapati ada lalat di dalam badan anai-anai itu,” katanya pada sidang media di USM baru-baru ini.
Dr. Henry Disney, seorang pengkaji lalat dari Universiti Cambridge mengesahkan lalat itu sebagai satu spesies baru dalam bidang sains.

KEADAAN seekor anai-anai yang telah ‘diserang’ oleh lalat parasit.

Jelas Kok Boon lagi, dia dan penyelianya, Profesor Lee Chow Yang mengandaikan lalat itu memindahkan larvanya ke dalam anai-anai. Namun, cara serangan itu masih dikaji.
“Larva itu akan membesar di dalam kepala anai-anai sebelum berpindah ke bahagian abdomen. Akhirnya ia memecahkan dinding abdomen anai-anai.
“Cairan di badan anai-anai itu akan keluar. Kemudian, proses mengering akan membolehkan larva lalat terus membiak selepas anai-anai itu terbunuh,” ujarnya.
Chow Yang mengakui pihaknya masih mengkaji sama ada lalat ini mampu memainkan peranan besar dalam usaha memusnahkan anai-anai.
“Kami akan meneruskan kajian tentang kegunaan spesies lalat ini. Harap-harap, ia dapat memberi manfaat kepada semua,” katanya.


=======================================

Terima kasih untuk berkenan membaca isi blog ini, semoga dapat memberikan manfaat yang berarti bagi perkembangan dunia pendidikan kita. Atas segala kekurangannya saya menyampaikan permohonan maaf dan berkenan kiranya untuk meninggalkan komentar atas isi artikel ini. Salam Hormat untuk semuanya
Share this article :

0 comments:

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. INSPIRASI - All Rights Reserved
Template Modify by Creating Website
Proudly powered by Blogger